Tuesday, August 29, 2017

Kenapa perlu ada perlindungan Takaful?

Terdapat banyak sebab kenapa perlindungan Takaful diperlukan dan ini telah dihuraikan dalam banyak blog dan website. Di sini saya hanya ingin berkongsi apa yang saya dengari melaui radio ikimfm beberapa hari yang lepas. Ianya adalah berkaitan perancangan masa depan. Harap-harap pemahaman dan ingatan saya ni betul. Kalau ada kesilapan, sila perbetulkan.

Kita semasa dalam kandungan ibu, telah diciptakan Allah dengan kaki dan tangan serta pelbagai panca indera lain padahal kita tidak memerlukan semua itu pada masa kita berada dalam kandungan ibu. Semua anggota itu hanya diperlukan apabila kita telah berada diluar dari kandungan nanti. Allah telah persiapkan kita selama 9 bulan dalam kandungan ibu dengan semua keperluan kita apabila dilahirkan nanti. Begitulah kiasan dan pengajaran yang diberikan oleh penceramah tersebut berkenaan perancangan masa depan yang Allah telah tunjukkan dalam proses kejadian makhlukNya.

Jika dikaitkan dengan takaful, keperluan dan persediaan kita biarlah dibuat seawal mungkin. Semasa usia muda, perlindungan disediakan oleh ibubapa atau penjaga. Apabila kita telah bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri, peruntukkanlah sebahagian kecil dari pendapatan kita untuk membayar premium takaful. Biasanya dalam lingkungan 5-10 % dari jumlah gaji kita. Kita tak tahu bila musibah penyakit, kemalangan ataupun kematian akan menjengah. Dengan adanya perlindugan takaful, ianya akan dapat mengurangkan sedikit kesengsaraan terhadap diri atau tanggungan kita.

Takaful jika diniatkan dengan betul boleh menjadi antara amalan yang dapat membantu kita diakhirat nanti. Ini ialah kerana caruman yang dibuat dapat membantu saudara kita yang ditimpa musibah mengambil menafaat daripada caruman yang dibuat oleh pencarum takaful yang lain. Tabarru' merupakan sedekah dari semua pencarum yang diletakkan dalam satu tabung.  Tabung tersebut dinamakan Tabung Risiko. Ia menempatkan derma terkumpul para peserta. Fungsi dana ini adalah sebagai bantuan kepada peserta yang ditimpa musibah.




Daripada Rasulullah SAW dengan sabdanya: Apabila matinya anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan dengan tiga perkara: Sedekah yang berterusan, ataupun ilmu yang memberikan manfaat, ataupun anak yang soleh yang berdoa kepadanya. (riwayat Muslim)




Sunday, February 19, 2017

Aku Perunding Takaful

Assalamualaikum warahmatullah,

Ya, aku kini bergelar perunding takaful dengan Syarikat AIA-Public Takaful atau lebih dikenali sebagai Life Planner. Buat masa ini ia merupakan satu pekerjaan sampingan (part-time job) buat aku untuk menambah pendapatan dan juga untuk berbakti kepada sesama insan yang lain. Aku memasarkan produk-produk takaful untuk kemaslahatan dan perlindungan sesama insan lain. Terdapat pelbagai jenis perlindungan takaful yang ditawarkan oleh syarikat ini dan aku akan cuba kongsikan bersama pembaca dalam tulisan-tulisan yang mendatang.

Bagaimana ianya bermula? Begini ceritanya.
Di akhir tahun 2016 di kilang tempat aku bekerja (hampir 26 tahun) telah menawarkan VSS (Voluntary Separation Scheme) ataupun pemberhentian kerja secara sukarela disebabkan kemerosotan jualan. Aku terpanggil untuk melakukan sesuatu sekiranya permintaan aku dalam VSS diterima. Dua bidang telah aku terokai iaitu sebagai Perunding Unit Amanah Saham Public Mutual dan juga Perunding Takaful AIA-Public. Secara kebetulan kedua-duanya ada kaitan dengan Public Bank. Walaupun permohonan VSS aku ditolak tapi aku meneruskan kedua-dua kerja separuh masa ini mengikut kemampuan aku.

Apakah skim Takaful?
Secara ringkasnya Takaful adalah merupakan skim saling bantu-membantu berdasarkan prinsip perpaduan, persaudaraan dan kerjasama. Setiap peserta bersetuju untuk membuat sumbangan berdasarkan Tabarru' (derma) ke dalam dana yang akan digunakan iaitu Dana Risiko Peserta, yang akan digunakan untuk saling bantu membantu disaat yang diperlukan.Dana ini diuruskan oleh Syarikat untuk pelaburan yang diluluskan mengikut prinsip Syariah. Dengan kita berniat sedekah membantu, Insya Allah kita akan memperolehi pahala dengan sebahagian dari caruman yang dibuat. Insya Allah dalam penulisan yang mendatang aku akan kongsikan kebaikan-kebaikan menyertai Takaful ini.